PRESIDEN PAS(NAIB KETUA KESATUAN ULAMAK SEDUNIA) |
Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah
SAW. Sebagai seorang yang mencintai dan mengasihi baginda, tentu sekali
kita sentiasa terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan
Rasulullah SAW sehingga kita semua dapat menerima cahaya keislaman,
hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat Iman dan Islam yang sangat
berharga.
Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh
manakah kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh
di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang
ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang
kemudiannya disambung silih berganti hingga ke hari ini?
Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ.
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat
manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran;
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu.”
[Surah Saba’ : ayat 28]
Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama
sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang
diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji,
sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui
adanya Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.
Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini
dengan menguatkan iltizam. Bersama kita menegakkan sunnah baginda
sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan
rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan
berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW
dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda,
meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.
Rasulullah SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke
seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman,
penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari
ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si
pelakunya dari tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran
Baginda SAW saban tahun.
Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan
Rasulullah SAW hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu,
marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW,
seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam
kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan
segala suruhan Allah SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.
Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh
cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Presiden PAS
24 Disember 2015M / 12 Rabiul Awwal 1437H
No comments:
Post a Comment