KUALA TERENGGANU - Presiden Amanah (Angkatan Amanah
Merdeka) YBM Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapannya mengucapkan terima
kasih kepada dua anak raja Terengganu yang hadir dalam Majlis Pelancaran
Amanah di sebuah hotel di sini Pada Sabtu 6 April lalu.
Kedua-dua anak raja itu adalah Tengku Ibrahim, Tengku Seri Paduka Raja Terengganu dan Tengku Raja Dato’ Kamarul Bahrin.
Beliau
yang juga anak raja Kelantan berkata, kedua-dua anak raja Terengganu
itu telah sudi dan sanggup menjemput beliau untuk bertemu rakyat
Terengganu dan memberi ruang kepadanya memperkenalkan Amanah.
Apa yang menarik, yang sama, terpacul dari mulut ketiga-tiga anak raja itu adalah isu yang bekait dengan royalti petroleum.
[Gambar atas - dari kanan; Tengku Paduka, Tengku Razaleigh, Raja Kamarul Bahrin dan Tengku Ahmad Hussin]
Raja
Kamarul Bahrin dalam ucapan alu-aluannya selaku koordinator Majlis
tersebut menyebut negara Malaysia dan negeri Terengganu terlalu
bergantung kepada sumber pendapatan petroleum, minyak dan gas.
Menurutnya
dalam bajet yang dibentang oleh kerajaan negeri Terengganu baru-baru
ini, 95% hasil negeri bergantung dari Dana Khas yang disalurkan, nama
lain bagi nama royalti petroleum yang telah diselewengkan oleh Umno dan
Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Tengku Paduka, terus
sahaja membuka ucapannya selaku Penaung MAMPAT memperoalkan mengapa
kerajaan Umno/BN pusat tidak mahu menjelaskan royalti petroleum kepada
kerajaan PAS Kelantan dan merampas royalti tersebut dari kerajaan PAS
Terengganu.
Menurutnya, negeri Kelantan dan Terengganu adalah dua
negeri yang mempunyai majoriti penduduk Melayu dan yang menguasai
kerajaan pusat adalah Umno yang juga mengaku sebagai sebuah parti
Melayu.
“cuba
kita lihat kerajaan Kelantan yang dipimpi oleh PAS telah memohon kepada
kerajaan persekutuan untuk diberi hasil (royalti) minyak bukan banyak
cuma RM1 bilion sahaja,
“kerajaan PAS di Kelantan adalah sebuah kerajaan Melayu, penduduk negeri Kelantan berjumlah 96% orang Melayu,
“mengapakah tidak diterima rayuandan permohonan kerajaan Kelantan untuk mendapat wang royalti ini,”soal Tengku Paduka.
Beliau
yang juga bekas ADUN Tanggul dari Parti Melayu Semangat 46, menempelak
sikap pemimpin Umno Terengganu yang disifatkannya sebagai takut untuk
berdepan dengan pemimpin Umno Pusat.
Menurutnya sejak royalti
menjadi wang ehsan ketika PAS memerintah Terengganu dan kini menjadi
dana Khas, kerajaan Pusat telah berhutang sebanyak RM5 bilion
“Setakat
ini kalau tak salah saya wang royalti ini tertunggak lebih kurang RM5
bilion, ini yang duk main sorong tarik tak beri juga,
“kerajaan
(Terengganu) yang ada pada hari ini adalah kerajaan BN, kerajaan Pusat
adalah kerajaan (Umno)BN, hok duk sini tu duk takut, takut nak main
kasar sikit, takut peteh keting, dia (Umno) sama dia (umno) pun tak beri
pitih,”tegasnya.
Tengku Razaleigh pula memulakan ucapannya
mengungkap sejarah ketika beliau menjadi Pengerusi Petronas dan isu yang
berkaitan dengan royalti petroleum.
Beliau dalam sesi soal
jawab, selain mengupas soal royalti Petroleum, Ku Li menolak dasar
kerajaan Umno/BN membawa buruh asing sehingga menyebabkan kebanjiran
‘warga asing’ kelas bawahan yang tidak membawa manfaat yang banyak.
Malah katanya, ia menyebabkan banyak masalah social dan menimbulkan malapetaka kepada keselamatan Negara.
Ku
Li turut menceritakan bagaimana kerajaan negeri Terengganu yang
diwakili Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad
menandatangani perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) di
serambi rumah rasmi ketika hujan pada waktu hampir maghrib.
Katanya, perjanjian PDA 1974 yang dibuatnya sendiri adalah ‘perjanjian bodoh’ sahaja yang mudah difahami.
“kita tandatangani perjanjian itu senang saja, tidak ada perkara yang pelik yang dimasukkan dalam perjanjian itu,
“tidak
ada kaitan langsung dengan undang-undang pada masa itu, apatah lagi
undang-undang darurat yang sering dikaitkan oleh ‘lawyer’ Umno,
“undang-undang
darurat dibuat pada tahun 1969, Akta kemajuan Petroleum dilulus oleh
parlimen dalam tahun 1974, ‘bodoh’ lawyer (Umno) ni,”kata Ku Li.
Katanya, ia adalah ‘simple contract obligation’ dan tidak perlu pergi ke mahkamah Persekutuan kerana senang difahami.
Dalam
sidang media selepas Majlis tersebut, beliau yang juga bekas menteri
Kewangan menegaskan selagi wang royalti dibayar dengan nama wang ehsan
atau dana khas, ia bukanlah wang royalti.
Wang royalti adalah, menurutnya, dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh Petronas, bukan dibayar oleh kerajaan pusat.
Disebalik
kritikan kepada dasar dan perlaksanaan kerajaan Umno/BN, Ku Li masih
sayangkan Umno dan tidak berhasrat meninggalkan parti itu.
Ada
dikalangan khalayak yang hadir mempersoalkan, bagaimana orang ramai
mahu memberikan amanah kepada ‘Amanah’ kerana Presiden Amanah masih lagi
manjadi ahli kepada parti umno yang tidak amanah.
Walaupun Ku Li
mengakui terdapat penyelewengan dan salah laku yang dilakukan oleh para
pemimpin Umno, beliau tidak akan keluar Umno seperti tindakanyang
diambil oleh Timbalan Presiden Amanah, yang juga Anggota Parlimen
Kulim-Bandar Baharu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Ku Li terus terang menyatakan beliau kurang percaya dengan janji-janji yang dikemukakan Pakatan Rakyat.
Beliau menganggap dirinya tidak berdosa seperti pemimpin Umno yang lain, walaupun masih menjadi ahli Umno.
“apa
jaminan yang Pakatan rakyat itu lebih baik daripada Umno, beritahu
saya….. berjanji senang kita buat bagaimana kita hasilkannnya bukan
mudah…..,
“saya walaupun menjadi anggota Umno, masih menjadi
anggota Umno, tidak bererti saya ini berdosa seperti orang lain, kerana
saya tak buat dosa, saya masih menegur saya masih mengkritik apa yang
tak betul……,”katanya.
Sumber: Buletinonline
No comments:
Post a Comment