PENGUMUMAN


widgets

29 September 2011

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.

Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.
Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

28 September 2011

70,361 digugur dan 50,000 disiasat : Bukti Kejayaan Rakyat

Suhaizan Kayat

28 9 2011 - Akhirnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengistiharkan kepada rakyat Malaysia 70,361 pemilih digugur dan 50 ribu lagi pemilih sedang di siasat. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Dato Kamaruddin Mohamed Baria Setiausaha SPR  kepada  Bernama pada 27hb September 2011. Daripada jumlah pemilih yang digugurkan,  terdapat  69,293 adalah pemilih yang telah meninggal dunia dan baki 1,068 pemilih yang telah dilucutkan kewarganegaraannya oleh pihak JPN.

Setiausaha SPR menyatakan bahawa tindakan itu diambil bermula Julai hingga 15 hb Sptember 2011 membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang.  Proses pemutihan ini telah melibatkan semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendedahan terbaharu SPR ini telah menolak penafian Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 hb Ogos 2011 yang telah menyatakan bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001% sahaja. Jumlah pemilih yang digugur dan di siasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih.  Jumlah ini adalah 0.98 % bukannya 0.0001 % seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR. Jumlah pemutihan yang besar ini juga membuktikan dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Bin Wan Omar yang menyatakan bahawa kesilapan yang berlaku adalah kesilapan kerani SPR adalah tidak benar.  Tidak mungkin kesilapan kerani SPR sehingga melibatkan ratusan ribu data SPR.

Pemuda PAS Malaysia berpendapat  bahawa pengguguran dan penyiasatan daftar pemilih SPR ini adalah kejayaan rakyat Malaysia  dalam mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih terbabit.  Desakan ini bermula daripada Himpunan Bersih 2.0 pada 9hb Julai 2011 dikuti siri-siri pendedahan yang telah dibuat oleh Pemuda PAS Malaysia. Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat? Pemuda PAS penuh yakin bahawa  pemutihan  ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia.

Pemuda PAS mahu  terus mendesak kepada SPR agar mengemukakan hasil siasatan ke atas 50 ribu pemilih yang pernah diwartakannya. Satu jawapan yang bertanggungjawab daripada SPR perlu dikeluarkan iaitu berapa ribukah  jumlah pemilih yang memiliki kad pengenalan klon/palsu. SPR tidak boleh berdalih dalam perkara ini kerana Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad bin Wan Omar sendiri telah mengakui pada 24 Julai 2011 bahawa terdapat kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih sah SPR. Soalan ini boleh dipecahkan kepada berikut :

1.       Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu  identiti pemilih.
2.       Berapa ramaikah pemilih berkembar?(Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83%  adalah  sama)
3.       Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara  “71” yang telah digugurkan?

Cabaran yang paling besar dihadapi oleh SPR dalam mengemukakan hasil siasatan di atas adalah halangan daripada Menteri Dalam Negeri yang menjaga Jabatan Pendaftaran Negara(JPN). Tidak mungkin hasil siasatan ini akan dimaklumkan secara telus kepada rakyat selagi kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional(BN).  Jika rakyat mahukan maklumat sebenar berkenaan manipulasi  kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih SPR maka kerajaan BN perlu ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Rakyat perlu digembelingkan untuk mengagalkan sebarang bentuk  ruang manipulasi dalam pilihanraya akan datang.

SUHAIZAN BIN KAYAT
PENGERUSI  PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI PEMUDA  PAS MALAYSIA.
KETUA PEMUDA PAS JOHOR.


Sumber: Buletinonline

23 September 2011

NEGARA BERKEBAJIKAN TEPATI HASRAT DAN KEHENDAK RAKYAT

DR BALA CHANDRAN

KUALA TERENGGANU - Konsep Negara Berkebajikan yang bakal dijadikan manifesto PAS menepati hasrat dan kehendak semasa rakyat yang dahagakan perubahan serta bosan dengan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu Dr Bala Chandran berkata pihaknya menyokong penuh gagasan ‘Negara Berkebajikan’ yang diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Kami (DHPP) sokong penuh dan ini (manifesto) konsep yang hasrat dan kehendak semasa rakyat hari ini mahukan perubahan.

“Konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS menjadi harapan baru rakyat yang dahagakan keadilan dan keharmonian dalam amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya PAS Terengganu Khamis 22 September.


Menurutnya, pengumuman Tuan Guru Abdul Hadi itu sesuatu yang dinanti oleh rakyat sebaliknya menjadikan Umno-BN semakin goyah.

Kata Dr Bala, pemimpin Umno akan ‘menyerang’ PAS kononnya meniru cara kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Saya cukup kecewa 54 tahun negara merdeka dan Umno-BN memerintah, kebajikan rakyat terabai dan kepentingan segelintir pemimpin mereka mengaut kekayaan negara.

“Saya harap rakyat tidak lagi mudah tertipu dengan ‘gula-gula’ pemimpin Umno-BN yang ingin menjaga kebajikan rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pastikan pada pilihan raya akan datang Umno dan kerajaan Barisan Nasional digantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sumber : Buletinonline