GEORGE TOWN, 20 FEBRUARI: Putrajaya menolak permohonan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina sekolah menengah Tamil pertama di
negara ini iaitu di Bagan Dalam, Butterworth sehingga mengecewakan ramai pihak
termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Mengulas keputusan Kerajaan Persekutuan UMNO-BN itu, Guan
Eng berkata, tawaran ikhlas kerajaan negeri untuk menyediakan sebidang tanah
bagi membina sekolah berkenaan langsung tidak dipertimbangkan oleh Putrajaya,
apatah lagi MIC.
“Kami hanya meminta satu sekolah menengah Tamil. Ini tidak
akan menjejaskan sesiapa,” katanya pada sidang media di Komtar, seperti
dilaporkan The Malaysian Insider.
Namun beliau masih positif dan berjanji untuk merayu kepada
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri
sebelum membawa perkara itu lebih lanjut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP juga memberitahu
bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai banyak pilihan kecuali harus melalui
Putrajaya memandangkan hal ehwal pendidikan malah sekolah swasta pun memerlukan
lesen daripada Putrajaya.
“Kami juga tidak cukup dana,” tambah Ahli Parlimen DAP Bagan
itu.
Beliau sudah beberapa kali menulis surat kepada Kementerian
Pendidikan tahun lalu mengenai permohonan itu serta memberi penjelasan
bagaimana sekolah menengah Tamil akan memenuhi keperluan pendidikan komuniti
Bagan Dalam, yang merangkumi 24% jumlah keseluruhan penduduk.
Kerajaan Negeri kemudiannya mendapat jawapan melalui surat
bertarikh 8 Januari daripada Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Dr
Khair Mohamad Yusof bahawa tiada peruntukan mengikut Akta Pendidikan 1996, bagi
membina sekolah menengah Tamil.
Surat berkenaan juga menyatakan akta itu hanya digunakan
untuk sekolah menengah bagi memenuhi keperluan pendidikan semua bangsa dalam
negara.
Guan Eng juga berkata, Timbalan Menteri Pelajaran P
Kamalanathan tidak berkata benar apabila berkali-kali menafikan menerima
sebarang surat mengenai permohonan itu daripada kerajaan negeri.
"Beliau berkata tiada surat daripada Pulau Pinang,
tetapi Kementerian Pendidikan sebenarnya menghantar jawapan kepada kami.
Kamalanathan tidak sepatutnya menipu," katanya.
Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Exco
Pendidikan pula berkata, kerajaan negeri sudah memohon kepada BN untuk
mengenepikan politik dan memberi sokongan untuk membina sekolah itu.
Malangnya, beliau berkata, parti India juga tidak
menyuarakan sokongan mereka, sebaliknya kumpulan pendidik Dong Zong yang
menyokongnya. - Roketkini.com
No comments:
Post a Comment