PENGUMUMAN


widgets

30 September 2011

Hudud: Pendirian rasmi Parti Islam Semalaysia (PAS)

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya."PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.
Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1.   Parti Islam SeMalaysia  (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka.  Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.


Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

29 September 2011

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 29 Sept: DAP, PKR dan PAS hari ini mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama disamping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, lewat malam tadi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mereka mengormati aspirasi PAS mahu melaksanakan hudud disamping menghormati pandangan DAP yang membantahnya ekoran bertentangan dengan perlembagaan.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.

"Kita jelas menghormati hak dan aspirasi PAS (mahu laksanakan hudud). Cuma dia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan Buku Jingga," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Karpal Singh, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta 23 ahli mesyuarat yang lain.

Sebelum ini, semua pimpinan Pakatan Rakyat diarah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah mencapai pendirian bersama pada mesyuarat malam ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 9 malam tadi antara lain bagi mencari pendirian bersama berhubung perbezaan pandangan antara ketiga-tiga parti dalam isu hudud.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik Umno BN untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat," kata Anwar lagi.

Isu hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Kelantar agar melaksanakan hudud kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan akan keluar Pakatan Rakyat jika pakatan setuju menjadikan agenda hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ia terus panas apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan kerelaan jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.
Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

28 September 2011

70,361 digugur dan 50,000 disiasat : Bukti Kejayaan Rakyat

Suhaizan Kayat

28 9 2011 - Akhirnya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengistiharkan kepada rakyat Malaysia 70,361 pemilih digugur dan 50 ribu lagi pemilih sedang di siasat. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Dato Kamaruddin Mohamed Baria Setiausaha SPR  kepada  Bernama pada 27hb September 2011. Daripada jumlah pemilih yang digugurkan,  terdapat  69,293 adalah pemilih yang telah meninggal dunia dan baki 1,068 pemilih yang telah dilucutkan kewarganegaraannya oleh pihak JPN.

Setiausaha SPR menyatakan bahawa tindakan itu diambil bermula Julai hingga 15 hb Sptember 2011 membabitkan jumlah pemilih berdaftar terkini seramai 12.3 juta orang.  Proses pemutihan ini telah melibatkan semakan rekod pemilih dengan kerjasama JPN, Jabatan Arah rekod dan Pencen (JRP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pendedahan terbaharu SPR ini telah menolak penafian Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 hb Ogos 2011 yang telah menyatakan bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001% sahaja. Jumlah pemilih yang digugur dan di siasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih.  Jumlah ini adalah 0.98 % bukannya 0.0001 % seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR. Jumlah pemutihan yang besar ini juga membuktikan dakwaan Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Bin Wan Omar yang menyatakan bahawa kesilapan yang berlaku adalah kesilapan kerani SPR adalah tidak benar.  Tidak mungkin kesilapan kerani SPR sehingga melibatkan ratusan ribu data SPR.

Pemuda PAS Malaysia berpendapat  bahawa pengguguran dan penyiasatan daftar pemilih SPR ini adalah kejayaan rakyat Malaysia  dalam mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih terbabit.  Desakan ini bermula daripada Himpunan Bersih 2.0 pada 9hb Julai 2011 dikuti siri-siri pendedahan yang telah dibuat oleh Pemuda PAS Malaysia. Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat? Pemuda PAS penuh yakin bahawa  pemutihan  ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia.

Pemuda PAS mahu  terus mendesak kepada SPR agar mengemukakan hasil siasatan ke atas 50 ribu pemilih yang pernah diwartakannya. Satu jawapan yang bertanggungjawab daripada SPR perlu dikeluarkan iaitu berapa ribukah  jumlah pemilih yang memiliki kad pengenalan klon/palsu. SPR tidak boleh berdalih dalam perkara ini kerana Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad bin Wan Omar sendiri telah mengakui pada 24 Julai 2011 bahawa terdapat kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih sah SPR. Soalan ini boleh dipecahkan kepada berikut :

1.       Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu  identiti pemilih.
2.       Berapa ramaikah pemilih berkembar?(Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83%  adalah  sama)
3.       Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara  “71” yang telah digugurkan?

Cabaran yang paling besar dihadapi oleh SPR dalam mengemukakan hasil siasatan di atas adalah halangan daripada Menteri Dalam Negeri yang menjaga Jabatan Pendaftaran Negara(JPN). Tidak mungkin hasil siasatan ini akan dimaklumkan secara telus kepada rakyat selagi kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional(BN).  Jika rakyat mahukan maklumat sebenar berkenaan manipulasi  kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih SPR maka kerajaan BN perlu ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang. Rakyat perlu digembelingkan untuk mengagalkan sebarang bentuk  ruang manipulasi dalam pilihanraya akan datang.

SUHAIZAN BIN KAYAT
PENGERUSI  PEMULIHAN DEMOKRASI & MOBILISASI PEMUDA  PAS MALAYSIA.
KETUA PEMUDA PAS JOHOR.


Sumber: Buletinonline

23 September 2011

NEGARA BERKEBAJIKAN TEPATI HASRAT DAN KEHENDAK RAKYAT

DR BALA CHANDRAN

KUALA TERENGGANU - Konsep Negara Berkebajikan yang bakal dijadikan manifesto PAS menepati hasrat dan kehendak semasa rakyat yang dahagakan perubahan serta bosan dengan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu Dr Bala Chandran berkata pihaknya menyokong penuh gagasan ‘Negara Berkebajikan’ yang diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Kami (DHPP) sokong penuh dan ini (manifesto) konsep yang hasrat dan kehendak semasa rakyat hari ini mahukan perubahan.

“Konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS menjadi harapan baru rakyat yang dahagakan keadilan dan keharmonian dalam amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya PAS Terengganu Khamis 22 September.


Menurutnya, pengumuman Tuan Guru Abdul Hadi itu sesuatu yang dinanti oleh rakyat sebaliknya menjadikan Umno-BN semakin goyah.

Kata Dr Bala, pemimpin Umno akan ‘menyerang’ PAS kononnya meniru cara kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Saya cukup kecewa 54 tahun negara merdeka dan Umno-BN memerintah, kebajikan rakyat terabai dan kepentingan segelintir pemimpin mereka mengaut kekayaan negara.

“Saya harap rakyat tidak lagi mudah tertipu dengan ‘gula-gula’ pemimpin Umno-BN yang ingin menjaga kebajikan rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pastikan pada pilihan raya akan datang Umno dan kerajaan Barisan Nasional digantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Sumber : Buletinonline

16 September 2011

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HARI MALAYSIA

PRESIDEN PAS
 Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

08 September 2011

Sini Suruh Gugur Kerakyatan Mat Sabu, Sana Bagi Beribu Kerakyatan Untuk Warga Asing

Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.

Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.

Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.

Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.

Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan?

Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.

Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.

Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 September 2011

05 September 2011

Bank Rakyat taja kad raya Najib?

Kulit kad raya

muka dua kad raya

muka tiga kad raya
4 Ogos 2011 - Kad raya ini anda akan perolehi sekiranya anda kunjungi Bank rakyat di Terengganu. Yang peliknya kulit depan muka najib dan bininya. Muka dua ucapan raya Bank Rakyat dan muka tiga ucapan raya najib  kepada rakyat. Tanda tanya Bank Rakyat ni baik betul dengan PM Malaysia?. Apa ke hal guna duit pelabur untuk taja kad raya PM Malaysia? Kalau tak berduit tak payahlah guna kad ucapan raya. Ngabis diut rakyat je ni. Kan dengan bini dah ucap raya kat tibi kaler. Tanya jer ni bukan nuduh. His salah anggaplah.tu!!!!!!