PENGUMUMAN


widgets

16 September 2011

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HARI MALAYSIA

PRESIDEN PAS
 Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

08 September 2011

Sini Suruh Gugur Kerakyatan Mat Sabu, Sana Bagi Beribu Kerakyatan Untuk Warga Asing

Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.

Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.

Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.

Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.

Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan?

Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.

Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.

Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 September 2011

05 September 2011

Bank Rakyat taja kad raya Najib?

Kulit kad raya

muka dua kad raya

muka tiga kad raya
4 Ogos 2011 - Kad raya ini anda akan perolehi sekiranya anda kunjungi Bank rakyat di Terengganu. Yang peliknya kulit depan muka najib dan bininya. Muka dua ucapan raya Bank Rakyat dan muka tiga ucapan raya najib  kepada rakyat. Tanda tanya Bank Rakyat ni baik betul dengan PM Malaysia?. Apa ke hal guna duit pelabur untuk taja kad raya PM Malaysia? Kalau tak berduit tak payahlah guna kad ucapan raya. Ngabis diut rakyat je ni. Kan dengan bini dah ucap raya kat tibi kaler. Tanya jer ni bukan nuduh. His salah anggaplah.tu!!!!!!